Hidup Anggun tidak lagi sebahagia dahulu sejak kematian kakak yang dia sayangi. Gelap dunia Anggun, gelap lagi dunia seorang ibu. Kebahagiaan mereka direntap sekelip mata dan orang yang bertanggungjawab di atas kematian kakaknya adalah Rezza Raymond Foo.
Lelaki itu masih bebas di luar sana dan Anggun tekad untuk menuntut keadilan di atas kehilangan yang sangat perit ini walaupun dia terpaksa merima lamaran lelaki itu yang mahu memperisterikannya.
“Kau tak salah dengar. Memang gaji yang aku tawarkan adalah sebanyak lima belas ribu ringgit. Banyak, bukan? Tetapi ada harga yang kau perlu bayar untuk gaji sebanyak itu. Kau kena kahwin dengan aku.” – REZZA
Gila! Memang gila tapi Anggun tahu ini adalah satu-satunya peluang untuk dia menuntut bela. Seperti kata pepatah keep your friends close and your enemies closer. Anggun tekad, ini adalah satu-satunya cara yang terbaik. Kematian kakaknya perlu dibela.
“Medina, kau kena simpan rahsia ni. Jangan bagitahu sesiapa yang aku dah kahwin terutama sekali keluarga aku. Kalau jadi apa-apa pada aku barulah kau bagitahu mereka. Buat masa sekarang tolong simpan rahsia ni kemas-kemas, boleh?” – ANGGUN
Perkahwinan Anggun dan Rezza bukan untuk bahagia kerana masing-masing punya agenda tersendiri. Namun tanpa mereka sedari ada hati yang saling terpaut, ada jiwa yang hampir bersatu. Di saat mereka hampir menyulam bahagia satu rahsia terbongkar.
Rahsia yang menyedarkan Anggun bahawa bukan Rezza yang patut dipersalahkan tetapi dia! Hanya dia…